ARKIB

Arkib Berita Terkini

Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) Terima Anugerah Khas GIS Peringkat Antarabangsa


PUTRAJAYA :14 Okt 2014 – Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah dipilih bagi memenangi anugerah global, Pencapaian Khas dalam Sistem Maklumat Geospatial (GIS) ataupun Special Achievement in GIS (SAG). Anugerah SAG yang disampaikan kepada Brig Jen Hj Abu Sufian bin Ahmad, Pengarah BGSP di Persidangan Pengguna ESRI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) oleh Ketua Pegawai Eksekutif ESRI Asia Tenggara, mengiktiraf usaha BGSP dalam memanfaatkan teknologi maju GIS untuk menyokong operasi dan misi kritikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di bawah program uGeo For Defence, BGSP menggunakan teknologi GIS bagi membolehkan pihak ATM mengakses data geospatial yang tepat dengan lancar apabila diperlukan pada bila-bila masa, di mana sahaja. Program uGeo For Defence itu menyediakan infrastruktur dan keupayaan untuk mengintegrasikan data geospatial dari seluruh sistem perniagaan pelbagai, yang secara visual menunjukkan keputusan peta dinamik dan intuitif, yang membolehkan pengguna menggabungkan operasi mereka bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dengan cara paling berkesan.

Dengan adanya program uGeo For Defence membolehkan BGSP merancang dan melengkapkan pegawai ATM dengan maklumat asas geospatial yang boleh membantu mereka membuat keputusan yang tepat pada masanya, relevan dan konsisten.

Malah, teknologi itu memberi sumbangan yang sangat besar dalam bertindak balas terhadap insiden di Lahad Datu, Sabah tahun lepas dan merancang misi carian dan operasi menyelamat bagi penerbangan Malaysia Airlines MH370 dan tragedy MH17.