ARKIB

Arkib Berita Terkini

LAWATAN KERJA RASMI PERBADANAN ADAT MELAYU DAN WARISAN NEGERI SELANGOR (PADAT) KE GALERI JUPEM DAN REPOSITORI JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 13 April 2022 - Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang diketuai oleh Encik Abdullah Anas bin Abu Bakar, Kurator (Unit Pentadbiran Muzium dan Monumen) bersama-sama lima (5) orang pegawai yang terdiri daripada Penolong Kurator dan Pembantu Muzium telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Galeri JUPEM dan repositori Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). 

Lawatan ini telah disambut oleh Sr Rabiulkhair Bin Mohd Nor, Pengarah Ukur Seksyen Pengurusan Korporat dan pegawai-pegawai Seksyen Pengurusan Korporat. Lawatan ini juga turut dibantu oleh Sr K.Mathavan A/L S.Kumaran, Pengarah Ukur Seksyen Percetakan, Bahagian Kartografi dan GIS (BKGIS) bersama-sama pegawai sokongan.

Tujuan lawatan kerja rasmi PADAT ini adalah untuk mendapatkan informasi berkenaan penglibatan JUPEM dalam pembikinan setem selain ingin melihat peralatan seperti mesin-mesin percetakan yang berkaitan. 

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat Pengenalan JUPEM yang disampaikan oleh Cik Nur Azureen binti Saad, Penolong Pengarah Ukur Seksyen Pengurusan Korporat. Seterusnya, pelawat dibawa ke Galeri JUPEM yang terletak di Tingkat 1, Bangunan Ukur. Semasa lawatan, Sr Izuan bin Hashim, Penolong Pengarah Ukur Seksyen Pengurusan Korporat telah memberi penerangan tentang fungsi dan sejarah peralatan ukur termasuk juga bahan-bahan lain yang ada di Galeri. 

Pelawat juga dibawa ke Seksyen Percetakan di mana sesi perkongsian oleh Sr K.Mathavan A/L S.Kumaran mengenai pengalaman beliau terutamanya dalam kerja-kerja penghasilan setem sambil pelawat dibawa melihat mesin-mesin cetakan di JUPEM.

Di akhir lawatan ini, wakil PADAT menyampaikan cenderahati kepada wakil JUPEM sebagai tanda kenang-kenangan. Sesi lawatan diakhiri dengan sesi bergambar.