ARKIB

Arkib Berita Terkini

Majlis Menandatangani Persetujuan Kerjasama antara JUPEM dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)

Majlis Menandatangani Persetujuan Kerjasama antara Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) telah diadakan pada 24 Ogos 2020 di Dewan Jubli, Institut Penilaian Negara (INSPEN) yang disempurnakan bersama oleh YBrs. Sr Haji A’zmi bin Abdul Latif, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan YBhg. Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Persetujuan kerjasama ini diadakan bertujuan menjalinkan kerjasama strategik melalui perkongsian maklumat geospatial supaya kecekapan pengurusan penggunaan maklumat geospatial dan penilaian aset dapat ditadbir urus secara efisien dan bersistematik.

JUPEM sebagai sebuah agensi utama di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bertanggungjawab untuk membekalkan data geospatial kepada stakeholder yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, swasta dan masyarakat umum. Ini secara tidak langsung, membolehkan data tersebut digunakan oleh stakeholder berfungsi secara Spatially Enabled Government and Society dalam menyediakan perkhidmatan ukur dan pemetaan serta pengurusan data geospatial yang pintar melalui perkongsian data.

Di samping itu, JUPEM berharap melalui Malaysia Geospatial Data Services atau lebih dikenali sebagai MyGeoServe akan menjadi perkhidmatan data geospatial dan rujukan kepada agensi-agensi lain termasuk JPPH.

Turut hadir dalam Majlis Persetujuan Kerjasama ini adalah YBrs. Sr Ahmad Azman bin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I, YBrs. Sr Mohd Latif bin Zainal, Pengarah Ukur Bahagian (Dasar dan Penyelarasan Pemetaan) dan pegawai-pegawai kanan JUPEM.