ARKIB

Arkib Berita Terkini

MESYUARAT KEDUA KUMPULAN KERJA DASAR DAN PENGEMASKINIAN NAMA GEOGRAFI (KKDPNG)

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2022 - telah berlangsung Mesyuarat Kedua Kumpulan Kerja Dasar dan Pengemaskinian Nama Geografi (KKDPNG) di Bilik Persidangan Tingkat 15, Wisma JUPEM. KKDPNG merupakan salah satu daripada 3 kumpulan kerja di bawah Jawatankuasa Teknikal Nama Geografi Kebangsaan (JTNGK) yang ditubuhkan untuk menyelaras prosedur/ garis panduan penentuan dan pengemaskinian nama geografi.

Mesyuarat yang julung kali diadakan secara fizikal setelah mesyuarat pertama diadakan secara dalam talian pada tahun 2021 ini dipengerusikan oleh Pengerusi KKDPNG sendiri iaitu Sr Hazri bin Hassan yang juga merupakan Timbalan Pengarah Ukur Bahagian, Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan (BDPP), JUPEM. Mesyuarat ini dihadiri oleh 10 orang ahli KKDPNG yang terdiri daripada wakil Pengarah/Ketua Pengarah dari Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Pusat Geospatial Negara (PGN), Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain ahli daripada bahagian-bahagian di JUPEM sendiri iaitu Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan (BDPP), Bahagian Kadaster (BK), Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung Malaysia (BPTSM), Bahagian Pangkalan Data Geospatial Negara (BPDGN) dan Bahagian Kartografi dan GIS (BKGIS). Turut hadir ialah wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diundang khas bagi membincangkan isu tadbir urus penentuan nama pulau dan entiti geografi di luar pesisir melebihi 3 batu nautika daripada pesisir pantai yang amat penting untuk kepentingan dan kedaulatan negara.

Pada mesyuarat kali ini beberapa isu telah dibincangkan dan cadangan-cadangan penyelesaian akan diangkat semasa Mesyuarat Ke-24 JTNGK yang akan diadakan pada bulan Julai 2022 untuk persetujuan dan pelaksanaan.