ARKIB

Arkib Berita Terkini

SESI MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) BAGI PERSEMPADANAN SELANGOR-WP KUALA LUMPUR SERTA SELANGOR-WP PUTRAJAYA OLEH KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) persempadanan antara negeri Selangor - WP Kuala Lumpur (MoU 2 - Hasrat Penandaan dan Pengukuran Sempadan) dengan anggaran jarak 108.1 km serta MoU persempadanan bagi Selangor-WP Putrajaya (MoU 1 - Setuju Terima Ukuran Sempadan Sedia Ada dengan anggaran jarak 14.1 km & MoU 2 - Hasrat Penandaan dan Pengukuran Sempadan dengan anggaran  jarak 29.7 km) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Menara Seri Wilayah, Putrajaya pada 14 Jun 2022.

Dokumen MoU persempadanan tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Seri Hajah Rosida binti Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama antara Negeri Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor dengan disaksikan oleh YBrs. Sr Haji Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia serta YBrs. Ahmad Fuad bin Mustaffa, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya. Turut hadir menyaksikan sesi tandatangan ini adalah YBrs. Sr Hamdan bin Ab Aziz, Pengarah Ukur Bahagian Ehwal Persempadanan, YBrs.  Sr Saiful Wazlan bin Wahab, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya serta Encik Hazrey bin Tomyang, Setiausaha Ukur Bahagian (Ukur dan Pemetaan), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Sesi menandatangani MoU persempadanan ini diadakan secara berasingan dan telah disempurnakan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor. Susulan sesi ini maka urusan seterusnya akan disusuli dengan sesi menandatangani MoU persempadanan oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara mewakili pihak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam masa terdekat. 

Sesi menandatangani MoU ini amat penting kepada JUPEM untuk memulakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan bagi menentukan kedudukan sebenar sempadan antara negeri-negeri terbabit sebelum diwartakan. Persempadanan yang jelas dan tepat akan memudahkan pentadbiran dan perancangan pembangunan di sekitar sempadan.