ARKIB

Arkib Berita Terkini

Sesi Penyerahan Sijil AKPUP dan AKS Tahun 2019

Dimaklumkan bahawa seramai 116 orang pegawai telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khidmat Setia (AKS) dan 14 orang pegawai sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia (AKPUP) Tahun 2019 di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Susulan daripada itu, sesi penyerahan sijil bagi penganugerahan tersebut telah diadakan di peringkat Ibu Pejabat JUPEM dan JUPEM Negeri masing-masing secara serentak pada 30 November 2020 (Isnin), jam 9.00 pagi.

Di samping itu, sesi penyerahan sijil ini diadakan secara bersemuka dan siding video secara live yang melibatkan 13 JUPEM Negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Ini merupakan majlis yang dianjurkan secara bersederhana akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang sesi penyerahan sijil ini berlangsung.

Sesi penyerahan sijil ini juga dianjurkan bagi menghargai kakitangan yang cemerlang, berdedikasi dan telah berkhidmat lebih daripada 35 tahun dalam perkhidmatan awam. Ini merupakan antara elemen utama yang menyumbang kepada kejayaan dan kelancaran sesebuah organisasi. Tambahan lagi, Jabatan turut menghargai jasa dan pengorbanan sembilan (9) orang pegawai JUPEM di Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas semasa menjalankan tugas operasi penandaan dan pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia - Brunei Darussalam di sekitar Bukit Teraja-Mulu pada 1 Februari 2020.

Oleh yang demikian, Jabatan berharap pengiktirafan seumpama ini menjadi pendorong dan penyuntik semangat kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain serta dapat mengekalkan tradisi kecemerlangan JUPEM dalam apa jua tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada para penerima AKPUP dan AKS Tahun 2019 atas penganugerahan ini.