INFO KORPORAT

Perutusan Ketua Pengarah

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat melayari Portal Rasmi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Saya berharap portal ini akan dapat membantu para pengunjung berurusan dengan JUPEM bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan sektor ukur dan pemetaan.

Salah satu strategi untuk memperkenalkan dan mempromosikan JUPEM adalah melalui laman web. Sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Portal Rasmi JUPEM memaparkan pelbagai maklumat berhubung dengan organisasi, aktiviti, perkhidmatan, produk dan penerbitan jabatan. Turut dimuatkan ialah sudut ilmu, galeri foto, multimedia dan berita-berita terkini aktiviti jabatan. Laman web ini akan diselenggara dan dikemaskini bagi menjamin kandungannya sentiasa relevan dan terkini.

Selaras dengan tanggungjawab JUPEM dalam memacu pembangunan Negara dan berfungsi sebagai penasihat kerajaan dalam bidang ukur dan pemetaan di samping menjalankan kerja-kerja pengukuran dan pemetaan sebagai asas pembangunan sosio-ekonomi dan kedaulatan negara serta sebagai satu-satunya badan di negara ini yang berkuasa dalam kerja-kerja pengukuran sempadan negeri dan negara.

Sejak penubuhannya, JUPEM telah merencanakan pelbagai pembaharuan serta pemodenan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk yang ditawarkan. Bermula daripada penggunaan peralatan konvensional sehinggalah kepada aplikasi satelit, JUPEM sentiasa mengorak langkah mengikut perkembangan teknologi terkini dalam bidang ukur dan pemetaan.

Maklumat yang disediakan di laman web ini sentiasa dikemaskini dan bersifat interaktif agar ianya dapat memberi manfaat kepada para pengunjung yang melayari laman web ini. Bagi meningkatkan perkhidmatan yang diberikan, kami mengalu-alukan pendapat dan pandangan serta maklum balas untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan bagi kepentingan masyarakat dan negara, terlebih dahulu diucapkan berbanyak terima kasih.

Sekian, terima kasih.

DATUK Sr DR.AZHARI BIN MOHAMED
KETUA PENGARAH UKUR DAN PEMETAAN
MALAYSIA