INFO KORPORAT

Sejarah dan Latar Belakang JUPEM

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia atau lebih dikenali sebagai JUPEM merupakan antara agensi kerajaan yang tertua di Malaysia di mana aktiviti pengukuran bermula pada tahun 1885 dengan tertubuhnya Jabatan Ukur Negeri Johor. Bertitik tolak dari tahun 1885 hingga 1957, Jabatan-jabatan Ukur Negeri dan Topografi telah ditubuhkan sehingga membawa kepada penyatuan secara berperingkat kepada satu organisasi seperti hari ini. Pada tahun 1965, kerajaan telah meluluskan penubuhan Direktorat Pemetaan Negara Malaysia dengan mandat mengendalikan kerja-kerja ukur, pemetaan, topografi dan geodesi. 

Penubuhan jabatan diteruskan dengan penubuhan JUPEM Sabah pada tahun 1983, JUPEM Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1984, JUPEM Sarawak pada tahun 1989 dan diakhiri dengan penubuhan JUPEM Perlis pada tahun 1995. 

JUPEM bertanggungjawab dalam memacu pembangunan negara dan berfungsi sebagai penasihat kerajaan dalam bidang ukur dan pemetaan di samping menjalankan kerja-kerja pengukuran dan pemetaan sebagai asas pembangunan sosio ekonomi dan kedaulatan negara. Sejak penubuhannya, JUPEM telah merencanakan pelbagai pembaharuan serta pemodenan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk yang ditawarkan. 

Bermula daripada penggunaan peralatan konvensional sehinggalah kepada aplikasi satelit dan Unmanned Aerial System (UAS), JUPEM sentiasa mengorak langkah mengikuti perkembangan teknologi terkini dalam bidang ukur, pemetaan dan geospatial pertahanan. 

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia yang juga bertindak selaku Pengarah Pemetaan Negara dan Pengarah Pemetaan Tentera serta dibantu oleh Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I dan Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II. Struktur organisasi JUPEM telah dibahagikan kepada enam bahagian utama sebagaimana berikut: 

  • Bahagian Kadaster 
  • Bahagian Pemetaan 
  • Bahagian Ehwal Persempadanan 
  • Bahagian Ukur Geodetik 
  • Bahagian Geospatial Pertahanan
  • Bahagian Khidmat Pengurusan