MYGEONAMES

Sejarah Penubuhan JKNG

Sejarah penubuhan JKNG bermula apabila Malaysia menganggotai United Nations Group of Experts on Geographical Names (UNGEGN). (laman web ungegn: unstats.un.org/unsd/geoinfo/UNGEGN/default.html).

Penubuhan pertubuhan UNGEGN adalah bertujuan untuk memperkenalkan kaedah yang konsisten dan tepat dalam menggunakan nama-nama geografi bagi keberkesanan komunikasi di peringkat antarabangsa dan juga untuk membantu di dalam pembangunan sosioekonomi dan pemuliharaan alam sekitar serta infrastruktur negara-negara ahli.

UNGEGN berfungsi melalui dua puluh dua (22) Bahagian Geografi/Linguistik dan sembilan (9) Kumpulan Kerja, yang kini sedang mengkaji isu-isu antara lain meliputi kursus-kursus latihan, pangkalan data nama-nama geografi dan Gazetir, sistem romanisation, nama negara, terminologi, publisiti dan garis panduan. Malaysia adalah merupakan ahli UNGEGN Bahagian Asia Tenggara dan Barat-Daya Pasifik.

Lanjutan daripada itu, pada 11 September 2002 Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi (JKNG) ditubuhkan melalui keputusan Jemaah Menteri Malaysia untuk menyelaraskan kegiatan penentuan nama geografi di Malaysia. Jemaah Menteri berasaskan kertas kabinet No. 551/2337/2002 bertajuk Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi telah meluluskan serta mengesahkan keanggotaan dan terma-terma rujukan ‘Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi’ pada 11 September 2002. Cabutan para 13 keputusan Jemaah Menteri mengenai Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi adalah seperti berikut:

13 (a) mengambil maklum akan keterangan bahawa penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi adalah bagi tujuan menyelaras ejaan-ejaan serta menetapkan piawai nama-nama geografi. Keseragaman dari segi ejaan nama-nama geografi akan memastikan capaian data yang lebih tepat dan reliable; dan

13 (b) bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi yang akan diterajui oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.