MEDIA

Berita Terkini

Tahniah kepada YBhg. Datuk KPUP
Tarikh: 16-10-2019

Seluruh Warga JUPEM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia atas pengurniaan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran yang ke-81 Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 11 Oktober 2019.

 

JUPEM Riders ke Titik Tengah Semenanjung Malaysia
Tarikh: 14-10-2019

12 Oktober 2019: Buat julung kalinya, JUPEM Riders menganjurkan konvoi motorsikal berkuasa tinggi ke Titik Tengah Semenanjung Malaysia di Lanchang, Pahang. Biarpun sibuk dengan tugas hakiki, tidak menjadi halangan buat 13 kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dari Bahagian dan JUPEM Negeri untuk turut serta dalam konvoi kali ini.

Ia dizahirkan melalui pembabitan JUPEM Riders yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari pelbagai gred dan jawatan menjadikan aktiviti permotoran sebagai salah satu wadah penyatuan dan memupuk semangat kerjasama. Pendekatan ini dilihat mampu menyemai kesefahaman dan mendekatkan jurang perbezaan apabila sama-sama ingin mengambil tahu dan melihat sendiri Monumen Titik Tengah Semenanjung Malaysia yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang, Pahang ini.

Monumen ini terletak di antara jalan raya lama yang menghubungkan Karak dengan Temerloh. Titik rujukan dirujuk sebagai Long/Lat 03 29 33U/102 13 10T, 3.4925U/102.219444T, RSO: x 469519.6934/ y 386358.7627.

Terdapat 2 monumen di kawasan ini, yang pertama Monumen Titik Tengah Semenanjung Malaysia, manakala di sebelahnya monumen yang menunjukkan arah kiblat dengan pacakan 5 batang arca buluh mewakili rukun islam.

JUPEM Riders akan terus mencari entiti ukur dan pemetaan di seluruh Malaysia seperti ini untuk menambahkan ilmu dan menjadikan rekreasi seperti ini sebagai aktiviti yang bermanfaat pada masa akan datang.

 

Lawatan Ulung Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) ke Bahagian Geospatial Pertahanan
Tarikh: 07-10-2019

YBhg. Mejar Jeneral Dato' Pahlawan Ir Haji Chapiti bin Haji Redzwan, Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah mengadakan lawatan ulung ke Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) pada 4 Oktober 2019 sempena mengambil alih jawatan sebagai Ketua Jurutera ke-15 daripada YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Pahlawan Haji Ahmad Nasir bin Haji Abd Rahman pada 27 Ogos 2019. Kehadiran beliau telah disambut oleh YBrs. Kol. Sr Muhamad Nadzir bin Mat Isin, Timbalan Pengarah BGSP bersama pegawai-pegawai BGSP di lobi Wisma JUPEM, Ibu Pejabat JUPEM, Kuala Lumpur.

Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas YBrs. Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia. Dalam siri lawatan tersebut, beliau telah diberi taklimat ringkas berkenaan peranan dan tugas BGSP serta pengenalan kepada Defence Geospatial Information Management (DGIM) oleh Timbalan Pengarah BGSP. Selain itu, beliau juga dibawa melawat ke Pusat Operasi, Bilik Produksi dan pameran Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

 

Bengkel Pemantapan Pelan Pengurusan Risiko dan Peluang, Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 JUPEM
Tarikh: 04-10-2019

Bengkel Pemantapan Pelan Pengurusan Risiko dan Peluang, Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 JUPEM telah diadakan pada 24 hingga 27 September 2019 bertempat di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands, Pahang Darul Makmur.
 
Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk menambahbaik dan memantapkan Pelan Pengurusan Risiko dan Peluang di Bahagian/Seksyen/JUPEM Negeri yang terlibat. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk memberi pemahaman kepada peserta kaedah untuk mengenalpasti, menilai, menganalisis dan mengurus risiko dalam pengurusan dan penerbitan peta topografi serta pengurusan dan perkhidmatan ukur kadaster supaya dapat disebar luas kepada semua pegawai dan kakitangan di Bahagian/Seksyen/JUPEM Negeri masing-masing.
 
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Encik Ridzuan bin Muhammad dari Perunding Inokreatif Q dan dihadiri oleh 39 orang peserta. Bagi mendapatkan pandangan pihak pengurusan, Bahagian Kadaster serta Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan telah mewakilkan masing-masing seorang pegawai sebagai panel penilai hasil bengkel tersebut. Secara keseluruhan, bengkel tersebut telah mencapai objektif yang digariskan. 

 

Bengkel Pembangunan Pelan Strategik JUPEM 2021-2025 (Fasa 2)
Tarikh: 01-10-2019

Bengkel Pembangunan Pelan Strategik JUPEM 2021-2025 (Fasa 2) telah diadakan pada 25 hingga 27 September 2019 bertempat di Avillion Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia yang turut dihadiri oleh 46 pegawai kanan dari pelbagai bahagian di Ibu Pejabat JUPEM.
 
Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk menghasilkan Pelan Strategik JUPEM di mana ia merupakan ‘blue print’ yang menjadi asas rujukan bagi menentukan hala tuju ke arah pencapaian matlamat Jabatan supaya perancangan kerja akan menjadi lebih fokus, terancang dan bersistematik dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan ukur, pemetaan dan geospatial di samping mampu mencapai kehendak pihak berkepentingan dan memberi kepuasan kepada pelanggan.