MEDIA

Berita Terkini

Program Transformasi Kepimpinan Juruukur/Jurugeospatial JUPEM 2020

Program Transformasi Kepimpinan Juruukur/Jurugeospatial Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah berjaya diadakan di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang, Perak pada 1 hingga 2 Februari 2020. Program yang bertemakan 'With Wisdom, We Can Make Things Better, Create Better Things and Innovate New Things' telah menghimpun seramai 307 pegawai meliputi Juruukur, Jurugeospatial dan lain-lain perkhidmatan di Bahagian Ibu Pejabat, JUPEM Negeri serta yang berkhidmat di jawatan kader dari pelbagai jabatan/agensi. YBhg. Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2020 dan seterusnya merasmikan program ini. 

Intipati program selama dua hari ini melibatkan beberapa slot program yang disusun rapi dan berinformasi bagi memberi manfaat dan transformasi kepada Juruukur dan Jurugeospatial. Antara slot yang menarik adalah Pembentangan Pencapaian KPI JUPEM tahun 2019 dan KPI JUPEM tahun 2020 yang disampaikan oleh YBrs. Sr Ahmad Azman bin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I manakala YBrs. Sr Sohaime bin Hj. Rasidi telah membentangkan Pelan Strategik JUPEM tahun 2021-2025. 

Bagi memeriahkan lagi program ini, JUPEM turut menjemput penceramah dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Encik Zaimy bin Shaari, Timbalan Pengarah (SUPREME) bagi menyampaikan Taklimat Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert-SME); Ceramah Motivasi Work Matters: Effective Leadership Skills oleh YBrs. Encik Shankar R. Santhiram; Isu Integriti dalam Pelaksanaan Projek-projek kerajaan dari Perspektif Jabatan Audit Negara oleh YBhg. Datuk Zulkipli bin Abdullah, Mantan Timbalan Ketua Audit Negara dan Bicara Rohani - Konsep Integriti Dalam Keberkatan Bekerja oleh YBhg. Ustaz Dr. Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah. Program ini diakhiri dengan Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Ukur kepada Politeknik di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Pada hari pertama program, JUPEM dikejutkan dengan berita kemalangan Helikopter Bell 206 yang membawa pasukan kerja ukur JUPEM bagi menjalankan pengukuran sempadan Malaysia - Brunei terhempas semasa melakukan pendaratan. YBhg. Dato’ KPUP turut menyampaikan taklimat ringkas dan rasa sedih kejadian tersebut pada hari kedua program ini. Program Transformasi Kepimpinan Juruukur/Jurugeospatial JUPEM 2020 seperti ini diadakan diharap dapat memartabatkan JUPEM lebih releven dan efisien dalam memberikan perkhidmatan kepada Kerajaan dan rakyat amnya.