Tarikh diterbitkan : 19 Aug 2021

MESYUARAT KE-16 JAWATANKUASA TEKNIKAL BERSAMA SEMPADAN DARAT DI ANTARA MALAYSIA DAN BRUNEI DARUSSALAM (MBT-16) 

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Mesyuarat Ke-16 Jawatankuasa Teknikal Bersama Sempadan Darat di antara Malaysia dan Brunei Darussalam (MBT-16) telah diadakan secara sidang video sejak 3 hingga 17 Ogos 2021. Delegasi Malaysia diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Malaysia manakala Delegasi Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Mulia Dato Paduka Hj. Yunos bin Mohd Noh, Chairman of Sub-Committee (Land Demarcation) Brunei Darussalam selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Brunei Darussalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal ini merupakan Mesyuarat Ke-15 Jawatankuasa Teknikal Bersama (MBT-15) telah diadakan pada 28 - 30 Januari 2019 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Susulan penularan pandemik COVID-19, kedua-dua pihak telah bersetuju mengadakan Mesyuarat MBT-16 pada kali ini secara sidang video yang dihoskan oleh pihak Malaysia.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Delegasi Malaysia bertujuan untuk membincangkan laporan kemajuan penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa Malaysia dan Brunei Darussalam bagi tempoh antara 28 Januari 2019 sehingga 2 Ogos 2021 serta membincangkan perkara-perkara berbangkit berkenaan aspek teknikal bagi kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa antara kedua-dua negara.

Mesyuarat MBT-16 ini antara lainnya telah berjaya memuktamadkan satu tempoh masa bagi menyiapkan keseluruhan kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat di antara Malaysia dan Brunei Darussalam dengan anggaran jarak 528.45 km. Kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat bagi menyiapkan pengukuran sempadan pada tahun 2034. Kedua-dua negara turut bersetuju memuktamadkan sejumlah 37 lembar pelan kerja luar dengan jarak 45.5 km.

Mesyuarat MBT-16 ini diakhiri dengan majlis menandatangani pelan kerja luar dan Minit Mesyuarat MBT-16 serta pertukaran kedua-dua dokumen tersebut akan lakukan melalui saluran diplomatik.