Tarikh diterbitkan : 14 Oct 2019

JUPEM Riders ke Titik Tengah Semenanjung Malaysia

12 Oktober 2019: Buat julung kalinya, JUPEM Riders menganjurkan konvoi motorsikal berkuasa tinggi ke Titik Tengah Semenanjung Malaysia di Lanchang, Pahang. Biarpun sibuk dengan tugas hakiki, tidak menjadi halangan buat 13 kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dari Bahagian dan JUPEM Negeri untuk turut serta dalam konvoi kali ini.

Ia dizahirkan melalui pembabitan JUPEM Riders yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari pelbagai gred dan jawatan menjadikan aktiviti permotoran sebagai salah satu wadah penyatuan dan memupuk semangat kerjasama. Pendekatan ini dilihat mampu menyemai kesefahaman dan mendekatkan jurang perbezaan apabila sama-sama ingin mengambil tahu dan melihat sendiri Monumen Titik Tengah Semenanjung Malaysia yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang, Pahang ini.

Monumen ini terletak di antara jalan raya lama yang menghubungkan Karak dengan Temerloh. Titik rujukan dirujuk sebagai Long/Lat 03 29 33U/102 13 10T, 3.4925U/102.219444T, RSO: x 469519.6934/ y 386358.7627.

Terdapat 2 monumen di kawasan ini, yang pertama Monumen Titik Tengah Semenanjung Malaysia, manakala di sebelahnya monumen yang menunjukkan arah kiblat dengan pacakan 5 batang arca buluh mewakili rukun islam.

JUPEM Riders akan terus mencari entiti ukur dan pemetaan di seluruh Malaysia seperti ini untuk menambahkan ilmu dan menjadikan rekreasi seperti ini sebagai aktiviti yang bermanfaat pada masa akan datang.