Tarikh diterbitkan : 25 Nov 2021

SESI DEMONSTRASI ALAT GRAVITI METER DAN SISTEM PENGURUSAN DATA GRAVITI (GDMS) DI BAWAH PROJEK JUPEM T36/2019

KUALA LUMPUR, 24 November - Satu sesi demonstrasi alat Graviti Meter dan Sistem Pengurusan Data Graviti telah dijalankan oleh Seksyen Graviti dan Falak, Bahagian Ukur Geodetik bertempat di perkarangan Bangunan CAMS dan di Tingkat 7, Bangunan Ukur, Ibu Pejabat JUPEM. Sesi demonstrasi ini dilakukan bertujuan untuk menunjukkan cara dan kaedah pengukuran data graviti dengan menggunakan alat Graviti Meter Scintrex CG-6 serta pemprosesan data graviti melalui Sistem Pengurusan Data Graviti (GDMS). Tujuan utama cerapan graviti dilakukan adalah untuk menghitung pembetulan ortometrik bagi tujuan jaringan ukur aras jitu dan untuk menghitung geoid tempatan dan menghasilkan model geoid gravimetrik. Perolehan 2 unit alat Graviti Meter ini amat penting kepada Jabatan dalam menjalankan kerja-kerja pengukuran graviti di seluruh negara bagi mendapatkan taburan stesen-stesen graviti yang lebih padat supaya ianya dapat digunakan oleh pihak-pihak yang memerlukannya. Pengukuran juga dijalankan mengikut kelas-kelas iaitu Tertib Pertama, Kedua dan Ketiga yang merujuk kepada darjah ketepatan pengukuran.

Turut hadir bersama-sama dalam sesi demonstrasi ini ialah YBrs. Sr Sohaime bin Haji Rasidi, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I, YBrs. Sr Dr. Ahmad Sanusi bin Che Cob, Pengarah Ukur Bahagian (Ukur Geodetik), Sr Tsalimy bin Abdullah, Pengarah Ukur Bahagian (Perancangan dan Korporat) serta pegawai-pegawai kanan Jabatan yang lain.